PELABURAN KAMI

 

PERUMPUKAN ASET STRATEGIK

Rangka Kerja SAA PNB berperanan sebagai suatu garis panduan yang digunapakai dalam proses penetapan sasaran optimum perumpukan modal jangka panjang syarikat. Ia memainkan peranan yang penting dalam inisiatif PNB untuk meraih kepelbagaian risiko yang lebih baik bagi pelaburan portfolionya yang meliputi pelbagai kelas aset.

Sasaran optimum SAA ditetapkan mengikut toleransi risiko, sasaran pulangan dan kekangan pelaburan bagi setiap dana. Penetapan sasaran ini kemudiannya digandingkan dengan kajian prospek jangkamasa panjang dan pendek, unjuran tahap risiko, serta jangkaan pasaran modal dari seluruh kelas aset.

Proses SAA di PNB dibina berdasarkan aspirasi syarikat dalam memupuk budaya kolaborasi dan akauntabiliti yang menyeluruh di seluruh organisasi. Ini adalah penting dalam memastikan sumber dan kemahiran sedia ada sejajar dan tertumpu sepenuhnya dalam mencapai objektif pelaburan dana kami dan mampu memenuhi harapan pemegang-pemegang unit amanah kami.

Melalui pendekatan yang berstruktur dan inklusif ini, PNB mampu memperolehi pandangan yang lebih konklusif dan terkini mengenai faktor-faktor yang mempengaruhi jangkaan pulangan dan risiko dari setiap kelas aset pelaburan portfolio syarikat, seterusnya mampu meningkatkan mutu keputusan perumpukan aset pelaburan PNB. Hasilnya, portfolio PNB mampu berada di kedudukan yang lebih baik untuk memaksimumkan manfaat kepelbagaian sekali gus mencapai keseimbangan risiko dan pulangan yang optimum, justeru membina asas bagi pulangan mampan dan berterusan pada tahun-tahun yang akan datang.